Isu dan kontroversi Lim Guan Eng

Menang saman fitnah Utusan

Pada 14 Disember 2011, Lim menang kes berhubung saman fitnah Utusan Malaysia. Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Utusan Malaysia bersalah membuat laporan berniat jahat, fitnah dan tidak benar mengenai Ketua Menteri dan mengarahkan agar akhbar itu membayar beliau RM200,000 dalam bentuk ganti rugi dan kos sebanyak RM25,000. Hakim G. V. Varughese mendapati tujuh perenggan dalam laporan Utusan yang bertajuk “Kebiadapan Guan Eng” telah memfitnah Lim, sekali gus menggambarkan beliau dan DAP sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam.[8][9]

Lim Guan Eng diwakili peguam Lim Jagdeep Singh Deo. Pada Januari 2011, Lim mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Utusan Malaysia atas dakwaan sebuah artikelnya memfitnah DAP. Artikel pada Disember 2010 mendakwa DAP ialah alat kerajaan asing dan parti DAP hendaklah diharamkan. Utusan menuduh Lim sebagai seorang rasis (bersifat perkauman) dan anti-Melayu dalam artikel yang disiarkan sehari selepas Konvensyen Pakatan Rakyat 2010.[10]

Menang satu lagi saman ke atas Utusan

Pada 22 Jun 2012, ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memenangi satu lagi saman fitnah ke atas Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Saman itu berhubung satu laporan pada 15 Mac 2008 yang disiarkan akhbar utusan, mengenai dakwaan untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru. Kemenangan ini merupakan kemenangan kedua Lim di mahkamah ke atas Utusan.[11][12]

Menang saman fitnah ketua penerangan PERKASA, New Straits Times, Berita Harian dan Utusan

Pada 26 Mac 2015, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ketua penerangan PERKASA, Ruslan Kassim serta tiga syarikat akhbar membayar ganti rugi RM550,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Tiga syarikat akhbar berkenaan, New Straits Times (M) Bhd, Berita Harian Sdn Bhd and Utusan Melayu (M) Bhd diperintahkan berbuat demikian atas fitnah yang dibuat ke atas Lim. Ia bagi ganti rugi teruk dan teladan atas satu tulisan pemimpin PERKASA itu kerana menuduh Lim menjadi perisik Singapura.[13]

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memerintahkan PERKASA membayar RM150,000 manakala NSTP (M) Bhd dan Utusan diperintahkan membayar RM200,000. Beliau juga mengarahkan ketiga-tiga pihak terbabit membayar kos RM20,000.[14][15][16]

Mohon maaf beri jawapan salah isu elaun Mohamad Sabu

Menurut Lim, Mohamad Sabu daripada PAS hanya dilantik sebagai pengarah bukan bebas di Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad itu dan menerima elaun tetap RM500 sebulan dan elaun mesyuarat sebanyak RM300 setiap kali menghadiri mesyuarat.[17]

Katanya, jawapan bertulis yang diberikan kepada Jasmin sebelum ini bahawa Mohamad menerima elaun tetap RM1,500 sebulan, elaun mesyuarat RM300 dan elaun luar kawasan RM1,500 sebulan adalah tidak betul.[18]

Kematian Teoh Beng Hock

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menuduh Lim Guan Eng enggan bekerjasama dengan polis untuk memberikan kenyataan di bawah Seksyen 112 Kod Prosedur Jenayah. Ketua Polis Selangor memberikan amaran kepada Lim bahawa polis tidak akan teragak-agak menangkapnya jika beliau gagal memberikan kenyataan mengenai dakwaan menghasut. Lim disiasat kerana mengaitkan kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock disebabkan bunuh diri di Shah Alam pada 19 Disember 2009.

Pesalah di Seksyen 193 atau 203 Kanun Keseksaan yang memberikan keterangan palsu, mereka-reka keterangan palsu atau memalsukan maklumat kepada polis, akan dikenakan hukuman penjara, yang mungkin dilanjutkan sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.[19]

Isu Lim dan SDO

Perang dingin antara kedua-dua individu itu tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan isu curi pasir.

Pada 19 Julai 2010, Nik berkata bahawa beliau telah digelar oleh Guan Eng sebagai lidah biawak, pegawai tidak kompeten, 'little Napoleon' (Napoleon kecil) dan sebagainya. Balasnya, Guan Eng tidak mempunyai 'locus-standy' untuk menilai beliau sebagai pegawai yang tidak kompeten dan sebagainya. Nik Ali berkata bahawa isu curi pasir tidak ada kena-mengena dengan bidang tugas dan tanggungjawab SDO, sebaliknya ia bidang kuasa pihak berkuasa negeri, Pejabat Tanah dan Daerah dan ditangani bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Pada 23 Julai 2010, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata tiada tindakan tatatertib akan diambil terhadap Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus berikutan tindakannya memberi kenyataan balas berhubung dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadapnya.Tindakan Nik Ali itu dilihat untuk mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan Guan Eng.[20]

Pada 26 Julai 2010, Lim Guan Eng akan memfailkan saman malu terhadap Utusan Malaysia atas laporan berhubung pertikaian antara ketua menteri Pulau Pinang itu dengan pegawai kemajuan negerinya Nik Ali Mat Yunus dengan melantik Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor untuk mewakilinya dalam tindakan saman malu bagi dua laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 23 dan 24 Julai lalu. Karpal berkata dakwaan bahawa Lim telah menggunakan perkataan "lidah biawak" dalam itu juga merupakan satu penipuan kerana isu berkaitan penyediaan kerusi itu tidak disebut oleh Lim, tetapi sengaja ditimbulkan oleh Nik Ali. Nik Ali juga ingin mengalihkan perhatian daripada isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau dengan menimbulkan isu penyediaan kerusi. Tambah Karpal lagi, isu yang cuba dielakkan oleh Nik Ali ialah berkaitan "kehilangan RM150,000" berpunca daripada pembinaan satu pintu gerbang di Taman Kebun Bunga yang akhirnya dirobohkan. Mengenai isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau, hal itu ialah tanggungjawab kerajaan persekutuan kerana tapak tersebut merupakan tanah milikannya dan tiada tindakan pencegahan diambil sungguhpun kecurian bermula sejak tahun 2002. [21], [22]

Saman UMNO Pulau Pinang ke atas Lim ditolak

Pada 21 September 2011, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman menuntut Lim memohon maaf kerana menuduh UMNO Pulau Pinang mendalangi demonstrasi di luar pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan di Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai 2011 dan percubaan membakar pejabat DAP Pulau Pinang pada 17 Ogos 2011. Lim berhadapan saman fitnah RM30 juta.[23]

Pada 11 Jun 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah RM30 juta yang difailkan oleh Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan tiga yang lain.[24]

Cabar BN mengulang tuduhan skandal seks di luar DUN

Pada 28 Jun 2012, Lim Guan Eng dituduh mempunyai skandal dengan bekas pembantu pejabatnya, Ng Phaik Kheng.[25] Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, Pengerusi MCA Melaka Gan Tian Loo menyindir Betty Chew Gek Cheng, isteri LGE dan Adun Kota Laksamana.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula menuduh LGE tidak ada keberanian moral. Chua mengaku sebagai lelaki yang dirakam perlakuan seksnya dengan kamera litar tertutup secara sembunyi dengan seorang perempuan. Ekoran itu, Chua meletak jawatan sebagai menteri Kesihatan, naib presiden MCA, pengerusi MCA Johor dan ketua MCA Batu Pahat .[26]

Lim Guan Eng meminta Datuk Gan Tian Loo selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Melaka mengulang semula tuduhan itu di luar dewan agar tindakan mahkamah boleh diambil. Persidangan menjadi kecoh apabila Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun mencabar Tian Loo mengulangi soalan tersebut di luar dewan. Phaik Kheng pindah kerja dari pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang ke pejabat Warisan Dunia Pulau Pinang.[27]ADUN daripada DAP diketuai oleh Goh Leong San (Kesidang) mengambil tindakan keluar dewan selepas tidak berpuas hati terhadap Speaker DUN, Datuk Othman Mohamad ekoran penyiaran gambar Betty dalam akhbar Utusan Malaysia.[28]

Speaker, Datuk Othman Mohamad Othman menggantung Ketua Pembangkang DUN Melaka, Goh Leong San (Kesidang), Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Lim Jak Wong (Bachang), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh). Penggantungan itu mengikut Peraturan 34 Perkara (1) hingga (4) Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN Melaka. Alasannya kerana mereka gagal mematuhi peraturan sidang DUN termasuk membawa sepanduk tertulis perkataan 'Shame on you Gan Tian Loo' (Malulah kamu Datuk Gan Tian Loo). Mereka juga menimbulkan kekecohan selama 25 minit walaupun selepas persidangan ditangguhkan .Sidang DUN tidak dapat dimulakan dan ditangguh ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian. [29]

Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhamad membuat keputusan penggantungan itu terhadap Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang), berikutan kekecohan yang ditimbulkan pada persidangan hari itu yang bermula dengan Betty Chew, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta ADUN Duyung yang juga ahli exco kerajaan negeri, Datuk Gan Tian Loo menarik balik kenyataan yang disifatkan peribadi oleh Gan terhadapnya. [30]

Penggunaan nama Allah di Semenanjung Malaysia Barat

Lim Guan Eng mencetuskan kontroversi pada Disember 2012 apabila beliau menggesa kerajaan persekutuan BN untuk membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam Alkitab versi bahasa Malaysia seperti yang telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diamalkan di Timur Tengah selama lebih daripada seribu tahun. Beliau berkata kerajaan BN tidak sepatutnya mempolitikkan agama Krisitian hanya untuk meraih undi orang Melayu.[31] Namun demikian, beliau kemudian dibidas oleh PAS dan NGO-NGO dengan tegasnya mengatakan kalimah Allah adalah antara kalimah suci umat Islam.[32][33] Mereka sama sekali menentang cubaan Guan Eng ini. Ahli politik daripada kaum Cina, Wee Choo Keong, juga mengkritik tindakan Guan Eng dengan menyifatkan ia cubaannya menggunakan isu agama sebagai alat meraih undi untuk parti DAP.[34] Pas berpendirian istilah terbaik untuk 'God' ialah tuhan sebagaimana ia difahami oleh penganut Kristian manakala nama Allah khusus untuk Muslim di Semenanjung Malaysia Barat. Penggunaan nama ini bagi mengelakkan kekeliruan dan ketidaksenangan antara penganut agama Islam dan Kristian di Semenanjung Malaysia Barat. Bagaimanapun, Pas boleh menerima penganut Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.[35]

Nasrudin Hassan tarik balik kenyataan fitnah terhadap Lim Guan Eng

Pada 18 Januari 2016, Kes saman Lim Guan Eng terhadap Ketua Penerangan PAS dan juga ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Haji Nasrudin bin Hassan Tantawi berhubung fitnah mengenai projek pembinaan terowong dasar laut selesai selepas Nasrudin menarik balik kenyataannya terhadap Lim. Mahkamah turut memerintahkan Nasrudin membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Lim. [36][37]

Pada 1 Oktober 2014, Lim memfailkan saman terhadap Nasrudin dengan mendakwa defendan telah secara salah, sengaja dan berniat jahat menulis dan memuat naik dalam laman facebooknya.

Kes tuduhan rasuah mengenai pembelian hartanah

Pada 26 Jun 2016, Lim Guan Eng ditahan oleh SPRM di penjabat Ketua Menterinya berikut tuduhan rasuah mengenai pembelian banglo di Jalan Pinhorn di George Town. Lim Guan Eng menafikan dakwaan itu dan berkata ia bermotifkan politik.

Pada 4 Mac 2016, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya menuduh beliau membeli sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta. Lim bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dan berkata tanah berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.[38][39][40][41]

Pada 3 Sep 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan kes tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam. Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan kedua-dua mereka daripada tuduhan berkenaan. Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah lemah. Selepas membuat penelitian, beliau berpendapat tidak mungkin untuk meneruskan kes tersebut dengan mengetahui ia tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.[42][43]

Lim dan Ramasamy menang saman terhadap News Straits Times Press (NSTP)

Pada 6 September 2016, Mahkamah Rayuan memerintahkan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan bekas wartawannya Predeep Nambiar supaya masing-masing membayar ganti rugi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan timbalan ketua menteri II Dr P. Ramasamy sebanyak RM200,000 kerana memfitnah.

Saman fitnah yang difailkan mereka terhadap akhbar berbahasa Inggeris itu dan Predeep Nambiar berhubung satu artikel bertajuk "Indian-interest group claims thugs interrupted meeting" yang diterbitkan dalam laman webnya pada 4 Disember 2013. Hakim berkata mahkamah mendapati artikel itu bukan satu hasil daripada kewartawanan yang bertanggungjawab untuk responden layak mendapat pembelaan perlindungan bersyarat.

Panel itu yang juga termasuk Hakim Datuk Lim Yee Lan, Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal menganugerah RM50,000 sebagai kos perundangan kepada Guan Eng dan Dr Ramasamy.[44]

Menang saman ke atas Berita Harian dan NSTP

Pada 13 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan News Straits Times Press Berhad membayar Ketua Menteri Lim Guan Eng ganti rugi sebanyak RM300,000 berhubung laporan tidak tepat yang diterbitkan pada 20 Ogos 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan NSTP membayar RM35,000 sebagai kos dan faedah atas penghakiman sebanyak lima peratus kepada Lim. Dalam penghakimannya, Rosilah berkata mahkamah berpuas hati bahawa laporan yang ditulis oleh wartawan Berita Harian Siti Sofea Md Nasir itu diputarbelitkan, tidak tepat dan berunsur fitnah.[45]

Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang

Beliau terlibat dalam kontroversi berhubung penubuhan Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Kementerian Dalam Negeri.[46] Bagaimanapun, beliau mengisytiharkannya sebagai entiti undang-undang dan mencabar Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara Malaysia untuk berdebat mengenai legitimasi PPS.[47][48] Guan Eng kemudiannya mencabar pengisytiharan Kementerian Dalam Negeri di mahkamah.[49] Walau bagaimanapun, kesnya dibuang ke mahkamah oleh Mahkamah Tinggi.[50] Walau bagaimanapun, pada 28 Mac 2017, Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan bahawa Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) adalah organisasi undang-undang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.[51]